Posts Tagged ‘ Aku dan Turki

Tafakkur 1a

Bismillahirrahmanirrahim.

Kalau saja aku boleh melupakan semua kisah silam, semua keperitan dan kesedihan yang dialami selama aku di tanah itu. Kalau saja aku boleh membutakan mata dan memekakkan telinga dari semua benda hidup yang ada di tanah itu. Kalau saja.

Hati bercampur baur. Aku sudah menyenarai panjang aktiviti yang perlu aku lakukan. Tetapi sejauh mana aku dapat memberi perhatian dan menjadi halimunan yang ghaib di mata manusia, itu aku kurang pasti. Hari ini menatap lagi kitab lama, cuba memaknakan tajuk riya’ dan menghadam dalam jiwa. Allah.. betapa banyaknya perkara yang menyumbang kepada riya’, antara sedar atau tidak. Aku kira gaya hidup kini yang terasing dan mengasing, sedikit sebanyak melumpuhkan riya’ itu sendiri meski cabangnya sangat sukar untuk diracun sepenuhnya.

Aku sudah tidak betah menahan muka-mukanya manusia. Berhumor dan berjenaka tidak lagi cetus senyum untuk aku. Hidup dan mati sangat dekat, duhai hati apa tidak kau rasakah apa yang sedang aku rasa?

Ittaqullah!

-Ayza G.

Hosgeldiniz Musim Luruh!

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini 22 September 2012. Suhu hari ini sehingga jam 11 tadi adalah 19 darjah celcius. Sejak pulang awal September lalu, suhu di Denizli masih lagi panas, meski angin yang sesekali bertiup kuat itu sangat nyaman rasanya. Saban hari saya diserang migraine. Barangkali terlalu penat. 2 minggu sebelum pulang ke Malaysia tempohari saya sarat dengan pelbagai kerja, kemudian perjalanan panjang ke Istanbul dan Malaysia yang sangat memerlukan tenaga, ditambah 2 bulan di Malaysia yang sarat pelbagai tugas dan aktiviti, ah Tuhanku..

KUDRAT 

Seminggu sebelum Syawal, seminggu selepas Syawal adalah tempoh yang sungguh memenatkan. Sungguh, ia sangat-sangat memerlukan kudrat, lebih daripada hari-hari biasa saya. Seminggu selepas Syawal, dalam kepenatan kami pulang ke Turki, mengharungi lagi sebuah perjalanan yang sangat panjang.

Allah Maha Hebat dalam segala perancanganNya. Kami meluang masa 2 hari di Istanbul untuk memulakan tugasan yang telah dirancang. Allah melorong segala tugas kami. Saya tidak tahu dari mana datangnya segala kudrat dan fikiran yang positif. Yang pastinya ia semua adalah dengan bantuan Allah yang memerhati kami setiap masa, setiap saat.

Selesai tugas di Istanbul 2 hari, kami melalui jalan yang sungguh panjang untuk pulang ke Denizli. Ay Allah!

Benar bagai dikata, jauh perjalanan, luas pandangan, luas pengalaman.

Ia suatu perjalanan hidup, dan ia perjalanan yang sangat panjang!

MEMINTA HANYA DARIPADA ALLAH

2 tahun setengah di Turki, saya melalui pelbagai fasa kehidupan yang tidak pernah saya rasakan selama saya di Malaysia. Allah Maha Tahu segala, Allah Sehebat-hebat Perancang, Allah Maha Bijaksana.

Pelbagai dugaan dan rintangan hidup yang Allah berikan, saya kira ia adalah sebaik-baik pelajaran yang perlu dihalusi dan diambil iktibar. Menghalusi sebab dan musabab, tujuan dan kesannya pada saya sangat-sangat membantu untuk langkah hidup seterusnya.

Apa sahaja dugaan atau nikmat yang Allah berikan, tiada suatu pun yang sia-sia melainkan jika kita tidak dapat menerima hakikat dan redha akan berlakunya sesuatu hal itu. Allah sangat berhemah menduga manusia, sangat halus dan dalam pengertiannya.

Manusia tidak ada apa-apa kekuatan, tidak ada sebarang kuasa atau sebab musabab yang menjadikan sesuatu perkara itu berjaya. Saya percaya dan yakin tentang itu. Semuanya milik dan ketentuan Allah. Usahalah seberapa banyaknya dalam mencapai harapan dan cita-cita, tetapi harus sedar bahawa usaha itu tidak memberi sebarang kesan melainkan Allah yang mengizinkan harapan dan cita-cita itu terlaksana.

Rancanglah seteliti mungkin, ia tidak akan jadi realiti melainkan Allah yang mengizinkannya.

Semuanya dengan izin Allah. Tanpa izin Allah, kita tiada kudrat untuk melaksanakan apa pun. Ujub dan takbur bukan milik manusia dan mana-mana makhluk sekali pun. Usaha dan terus berusaha itu adalah tanggungjawab mutlak kita. Usaha tanpa henti, dan pada masa yang sama memintalah daripada Allah tanpa henti. Jika kita tidak tahu bagaimana untuk melunaskan sesuatu permasalahan, kita tidak tahu jalan keluar, kita tidak tahu bagaimana menyelesaikan dan tiada siapa yang ingin membantu, jangan pernah rasa malas dan malu untuk menghadap Allah, tadah kedua-dua tapak tangan dan mohon. Memohon dan meminta Allah ajarkan kita apa yang kita tidak tahu dan apa yang kita perlukan, mohon Allah bantu apa yang kita kekurangan, mohon dan terus memohon.

Sama ada kita dibantu atau tidak oleh sesama manusia, pertolongan dan bantuan ALLAH itu yang paling utama. Jangan pernah sekali membiarkan hati lara dan lagha dari mengharap bantuan Allah. Saya sangat yakin tentang hal ini dan telah menghadapinya ratusan kali. Jangan pernah menjadikan Allah pilihan terakhir kita meminta bantuan. Allah sentiasa di hadapan kita dalam apa jua yang kita lalui dalam hidup. Masalah di hadapan kita, Allah di hadapan kita. Kemudahan di hadapan kita, Allah di hadapan kita. Allah sentiasa ada, dan daripada Allah yang wajib kita minta. Kita hambaNya. Bukan hamba manusia. Usah terminta-minta daripada sesama manusia. Usaha dan mintalah daripada Allah, untuk segalanya. Dan InshaAllah setelah itu disalurkan pelbagai bantuan, pelbagai jalan, pelbagai penyelesaian.

Kita makhluk bertuhan. Ini bukan khayalan. Hiduplah dalam alam dan realiti yang nyata.

PERJALANAN PANJANG

Hari pulang sudah makin hampir. Rumah sewa sudah pun ditandatangani dan InshaAllah setelah pulang kembali ke Turki, ada rezeki InshaAllah kami akan berpindah. Saya perlu berkemas-kemas.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, semoga Allah melindungi kami sekeluarga sepanjang perjalanan ini. Permudahkanlah segala urusan kami Ya Allah, sesungguhnya kami bertawakkal dan menyerah segalanya kepadaMu Wahai Allah, Wahai Tuhanku.

MUSIM LURUH

Ay Musim Luruh, saya sangat rindukan kamu. InshaAllah kita akan bertemu lagi setelah saya kembali semula ke sini.

Sehingga jumpa lagi!

Wassalam.

-Hezarfen Nur
20020 Denizli 

 

 

 

 

Doa

For my own reference..

Amin. Amin. Amin ya Rabb.

doa@ redturkish.com

Annecigim

Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan namaMu ya Allah, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang.

Hari ini hari yang gembira. Namun di sudut hati terasa sedih.

Saya sedihkan Anne, ibu mertua saya. Ay Allah, mengapalah hati ini menangis melihat wajah Anne hari ini.. Setiap kali Anne menyebut nama saya, “Nurhayze..” setiap kali itu mata saya terbuka luas.

Sungguh saya rasa pilu.

Air mataku, hentilah menitis..

Saya yakin, Anne juga merasai apa yang saya rasakan.

Allahim, semoga eratnya kasih dan sayang ini kekal dunia dan akhirat.

Ben seni cok seviyorum, Annecigim!

-HezarfenNur
20020 Denizli, Turkiye

sayang-kasih@ redturkish.com

Peminta Sedekah

Selam herkese,

Semalam suami saya berhenti di sebuah kawasan perumahan ‘orang kaya’ di Camlik. Suami saya singgah di emlak berdekatan untuk bertanya harga rumah, dan kemudian kembali mendapatkan saya di tingkap kereta. Pada masa yang sama ada seorang wanita usia 50-an datang dengan senyuman manis, meminta wang dari kami.

“Kasihannya, Mehmet..” kata saya. Terpacul perkataan itu dari mulut.

“Haizam, tadi saya sudah tanyakan harga rumah, kata emlak tadi harganya..” suami saya terus menyambung perkataannya.

“Mehmet, kasihannya makcik ni..,” kata saya lagi, sambil membuka beg duit.

“Jangan, biar saya beri.. awak simpan beg awak, Haizam!”

Suami saya menghulur wang kepada wanita tadi. Wanita itu masih belum berpuas hati.

“Kami tidak cukup makanan. Atuk kamu di rumah perlu makanan, banyak perlu dibeli. Barang pasar kami tiada…”

“Haizam, tutup tingkap. Sekejap lagi saya datang balik. Jangan kasi apa-apa lagi,” kata suami saya.

Saya tidak gamak menutup tingkap, wanita tadi masih mengharap saya memberinya lagi. Saya diam, dia masih menyebut-nyebut barang keperluan yang dia tidak cukup. Pakaiannya baru, beg di tangan semuanya plastik berjenama, tudungnya baru, gigi-gigi bersih, wajahnya segar dan ceria. Waktu bercakap pun wajahnya tersenyum.

“Makcik, suami saya sudah beri tadi. Minta maaf Makcik, saya tiada wang kecil. Suami saya tidak izinkan saya beri lagi pada Makcik. Maafkan saya,” kata saya tersenyum, bercakap dalam Bahasa Melayu.

Wanita tadi terus diam, dan wajahnya mencuka. Matanya menjeling saya dan terus berjalan tanpa mengucapkan terima kasih.

“Mama, dia tak nampak seperti orang susah pun, ya Mama? Di tangannya banyak barang!”

Saya tersenyum. Peminta sedekah di kawasan perumahan ‘orang kaya’? Atau ini peminta sedekah standard orang kaya, barangkali?

Macam-macam.

Sudah azan Maghrib. Sehingga jumpa lagi!

-Hezarfen Nur
20020 Denizli, Turkiye 

Catatan I

Selam.

Jam sudah 1.53 pagi. Anak kecil sudah kembali sedar. Ingin minum air, tukar lampin, tukar baju. Dan kemudian ingin bisik-bisik kecil di telinga Mama.

Ah anakku!

I

Semalam sebentar suami saya mengajak saya keluar berjumpa emlak lagi. Kali ini emlak yang lain pula dan kami ditunjukkan gambar-gambar baik pulih sebuah rumah yang akan siap Sabtu ini. Kami sempat ke beberapa tempat melihat rumah. Ay Allah, mengapalah hati saya sukar sekali menyukainya. Kasihan suami saya yang sabar melayan kerenah saya.

Pulang, saya terus ke atas. Kepala saya pusing sekali. Cuaca panas dan angin sejuk sungguh membuat saya loya, keluar masuk rumah yang pelbagai. Rasa mahu pitam. 15 minit kemudian suami saya menelefon dari bawah. Anne sedang buat borek. Saya diajak sama membantu.

Syukur, dapat juga membantu sedikit sebanyak yang perlu. Saya mengawal diri supaya tidak rebah. Sungguh migraine ini sangat mengganggu konsentrasi. Anne bercerita tentang biras saya yang pulang dari Pakistan semasa kami tiada Ramadhan lalu, dan cerita lanjut sehingga kisah kematian ayah saya.

Oh ya, hari ini 15 September, hari kematian ayah saya. 1989 – 2012. Ayah sentiasa di minda saya.

Malamnya suami membawa saya ke Forum Camlik. Saya sudah rindu kedai buku. Buku yang saya cari tiada, tapi keseluruhannya sudah saya belek. Saya terjumpa sesuatu di dalam buku resepi masakan Turki. InshaAllah ada kelapangan saya akan menulis tentang ini.

II

Malam tadi sempat berbual dengan seorang teman baik. Teman saya bercerita tentang ibu mertua tirinya. Saya yang mendengar ceritanya terselit sedikit kemarahan. Tempohari ada seorang teman mengadu kepada saya tentang suami dan ibu mertuanya. Simpati bercampur geram mendengarkannya. Allah, saya cuba menyabarkan diri sendiri tetapi sungguh ia sangat menyakitkan perasaan. Apa lagi teman-teman ini adalah gelin yang tinggal di Turki. Kalau saja kami dekat sesama sendiri, dapat juga membentuk komuniti sokongan bagi yang memerlukan. Moga terus tabah, teman-teman!

III

Urusan di Istanbul sudah 90% selesai. Syukurlah kepada Allah. Semoga 10% lagi akan selesai dengan jayanya juga. InshaAllahu Ta’ala.

IV

Sudah jam 2.33 pagi. Esok ada banyak kerja lagi. Semoga ada kesempatan untuk menulis lagi, InshaAllah.

Gorusuruz!

-Hezarfen Nur
20020 Denizli, Turkiye

 

Bangunlah Mataku.. Tidurlah Anakku..

Bismillahirrahmanirrahim.

Uyan ey gözlerim gafletten uyan!
Uyan uykusu çok gözlerim uyan
Azrail’in kast? canad?r, inan.
Uyan ey gözlerim gafletten uyan!
Uyan uykusu çok gözlerim uyan

Seherde uyan?rlar cümle ku?lar
Dillu dillerince tesbihe ba?lar
Tevhid eyler da?lar ta?lar a?açlar
Uyan ey gözlerim gafletten uyan!
Uyan uykusu çok gözlerim uyan

* * *

wake up, o my eyes, wake up from heedlessness
wake up, o my very sleepy eyes, wake up
azrael’s intent is the soul, believe me
wake up, o my eyes, wake up from heedlessness
wake up, o my very sleepy eyes, wake up

all birds wake up before dawn
they start reciting god’s names in their own tongues
mountains, rocks and trees declare his unity
wake up, o my eyes, wake up from heedlessness
wake up, o my very sleepy eyes, wake up

Catatan: Ada syair di sebalik alunan ney ini, yang ditulis oleh Sultan Murad III. Anak kecil saya sangat aktif sejak pulang dari Malaysia. Setelah membacakan doa-doa untuknya sebelum tidur, lagu ini saya buka semasa menaip tulisan ini. Syukur, matanya semakin layu dan mulai tidur.

Selamat malam. Iyi geceler.

-Hezarfen Nur
20020 Denizli, Turkiye

Tafakkur Fakir

Bismillahirrahmanirrahim.

I

Jika mencari rezeki itu suatu yang fardhu, mengapa ada yang mempersoalkan usaha mencari rezeki? Tidak malukah menyuap rezeki tanpa usaha? Sanggupkah menerima ihsan dan belas insan, dan kemudian berbaik sangka ia rezeki yang turun terus dari langit tanpa dipinta?

Kerana aku berusaha mencari ilmu dan rezeki dalam waktu yang sama. Engkau bagaimana?

II

Jika mencari ilmu itu jauh lebih afdhal dari bertungkus lumus mencari rezeki, apa engkaukah si Pemberi Rezeki? Apa engkaukah si Pemberi Pahala? Kerana afdhalnya usahamu dan dangkalnya usahaku, apa engkau sudah cukup yakin akan apa si Pemberi akan berikan padaku?

Aku hamba dan aku tahu bahawa Tuhanku sangat dekat padaku. Hanya Dia yang Maha Mengetahui, dan engkau siapa untuk merumuskan siapa aku di sisi Tuhanku?

III

Jika aku fakir, aku hamba, engkau siapa? Aku sujud pada si Pencipta, engkau sujud kepada siapa? Aku merayu belas ihsan si Maha Pengasihani itu kerana aku serba kurang, serba dhaif, serba lemah dan serba serbi fakir infiniti, engkau bagaimana?

Aku berbisik kepada Tuhanku dengan bahasa yang Dia ajarkan padaku. Maha Suci Tuhanku yang Maha Bijaksana Lagi Maha Mengetahui.

IV

Apabila aku mengenali diriku, posisiku, situasiku, masa lampau dan masa akan datangku, aku berusaha dan terus berusaha. Al Khaliq bersamaku. Yang memakbulkan doa-doaku, yang memerhatikan setiap gerak geriku. Yang aku pinta pentunjuk dan hidayahNya saban waktu.

Dan engkau, yang aku kira berpaksi di bumi yang sama denganku, yang menyembah Tuhan nan Satu itu – belajarlah melihat air jernih dan paksa hatimu melihat wajah batinmu dalam kejernihan air itu.

Andai kau dapat melihat dirimu, aku jua begitu.

-Hezarfen Nur
20020 Denizli, Turkiye

 

When silence speaks..

nothing else matters.

-Hezarfen Nur
20020 Denizli, Turkiye

Hmm..

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini 10 September 2012. Hari masih panas. Hampir 4 jam saya dan suami keluar mencari rumah. Sungguh ajaib saya rasakan apabila tiada rumah sewa yang kelihatan melainkan berpuluh-puluh rumah yang tertera di tingkap-tingkapnya adalah “Satilik”, bererti untuk dijual.

SEWA ATAU BELI?

Beberapa rumah sudah kami masuki. Paling saya utamakan adalah bilik mandi, tandas dan dapur. Saya trauma melihat bilik mandi yang kotor, saya hampir pengsan melihat tandas yang keruh warnanya. Ah cukup, saya tidak mahu memanjangkan lagi senarai trauma. (Oh saya perlu beg mabuk udara! Tolong!) Sungguh, saya alahan dengan tiga kawasan itu.

Kami melihat rumah yang dibina di hadapan mata sejak 5 bulan lalu. Saya selalu berharap rumah kecil di tingkat atasnya dapat kami miliki. Hari ini setelah menelefon tuan rumah, saya dan suami pergi memeriksa rumah tersebut. Sangat comel, baru, belum diduduki sesiapa. Sayang ia bukan untuk disewa. Dan lagi, kata suami saya menjelang tahun hadapan, kita sudah mula memikirkan ruang yang lebih luas.

Ya, rumah itu sangat kecil.

Suami memandu lagi. Seluas-luas mata memandang mencari rumah sekitar bandar Denizli. Sungguh ajaib, tidak kira rumah lama atau rumah baru, atau tapak yang sedang dalam pembinaan, semuanya tertulis untuk dijual. Apa tiada rumah sewakah lagi di Denizli? Apa semua orang tidak mahu menyewakan rumah? Atau apa semua orang memang bersedia untuk membeli rumah? Di mana-mana yang kami lalu, semuanya untuk dijual.

Suami saya singgah di suatu tempat, bertanya di satu emlak. Kebetulan ada seorang lelaki pemilik bangunan yang baru siap di sekitar itu menyampuk perbualan suami saya dan memberitahu dia mempunyai rumah untuk disewakan.

Sebaik keluar dari emlak, suami saya mendapatkan lelaki tadi dan membawanya ke bangunan rumah yang hendak disewakan. MashaAllah, tempatnya sangat cantik, kami naik ke tingkat tiga dan melihat ruang rumah tersebut. Harganya 700TL. Kami meninjau-ninjau isi dalamnya dan sangat berpuas hati. Ia rumah baru, belum pernah diduduki. Lelaki tadi menelefon rakan kongsinya setelah suami saya setuju untuk menyewa rumah tersebut. Barangkali bukan rezeki kami, rumah itu baru saja disewakan oleh rakan kongsinya. Duit cengkeram rumah juga sudah pun dibayar terlebih awal oleh penyewa tersebut.

Ay Allah, sayang sekali!

Kami dibawa meninjau di tingkat 1. Ruangnya sedikit lebih besar. Saya bertentang mata dengan suami saya. Kami memikirkan sesuatu yang sama. InshaAllah. Suatu hari nanti. Semoga Allah permudahkan segalanya.

Haluan pulang, kami singgah di emlak seterusnya. Ada sebuah rumah di Lise Caddesi, 500TL sewanya. Namun kata suami saya itu bangunan yang sudah cukup lama. Bayangkan ruang mandi, ruang tandas dan.. oh cukup, tak perlu lihat pun. :) Jom pergi makan! Perut sudah cukup lapar!

FACEBOOK

Sudah beberapa bulan ini saya menjejak sesuatu. Mengamati sesuatu. Ternyata saya sudah tahu siapa dalang, siapa dajal, siapa itu dan siapa ini. Ia membuat saya berfikir panjang. Apa sebenarnya yang berlaku. Mengapa saya dikhianati? Rahsia saya dicungkil seadanya, saya ditanya apa saja, mereka menjadi rapat dan seolah sahabat baik lagaknya. Dan kemudian saya ini menjadi apa di akhirnya? Mengapa ketelusan hati saya dan kejujuran saya dipermainkan oleh sahabat-sahabat ‘mukabuku’ yang sangat ramai bermuka dua?

Saya menghitung-hitung, apa yang telah saya lakukan terhadap mereka. Tidak. Saya tidak membuat seperti yang mereka lakukan. Tapi mengapa ia berlaku kepada saya?

Mengapa apa yang ada di tangan saya itu seringkali memancing sahabat-sahabat sehingga sanggup menikam saya dari belakang?

Saya terus berfikir. Bertaakul. Soalan dan jawapan buntu. Buntu infiniti.

MALAYSIA

Saya akan pulang lagi. Ay Allah! :D
Saya mahu makan kerang lebih sedikit kali ini. Oh tak lupa, ikan tenggiri juga!

Hezarfen Nur
20020 Denizli, Turkiye